Tuesday, 29 November 2016

Membina Titik Fokus pada Diri

Membina Titik Fokus pada Diri

admin on November 24th, 2016

Oleh Noor Azam Abdul Rahman

PERIBAHASA Cina menyebut “menyimpang seinci, rugi seribu batu”. Peribahasa ini dengan tegasnya menggambarkan betapa pentingnya fokus semasa melakukan sesuatu tugasan. Apa-apa sahaja yang kita lakukan, sama ada perkara yang dilihat sebagai mudah seperti aktiviti riadah ataupun perkara yang sukar dan mencabar termasuklah mengulang kaji pelajaran dan menjawab peperiksaan, seharusnya diberi fokus yang baik. Fokus terhadap sesuatu perkara itu sangat penting kerana hasil yang diperoleh nanti ialah kesan daripada fokus yang kita berikan semasa menghasilkannya. Hal ini berkaitan dengan perkara yang kita lakukan seharian, yang juga memerlukan kebijaksanaan individu tersebut untuk menilai kepentingannya agar perkara yang dilakukan itu tidak membazirkan masa kerana hilang fokus. Walaupun kadang-kadang kita melihat nilai fokus ini sekadar perkara yang remeh sahaja, kesannya sangat besar terhadap kejayaan dan masa depan seseorang, terutamanya remaja.

Seperti yang sedia kita maklum, apa-apa yang kita lakukan hari ini ialah gambaran kehidupan kita pada masa akan datang. Begitu juga rangkai kata yang popular dalam kalangan pemimpin negara apabila berbicara tentang masa depan remaja, mereka akan mengucapkan bakal pemimpin negara akan datang boleh dilihat daripada personaliti golongan remaja pada masa sekarang. Dr. Yusuf Al-Qardhawi menyatakan bahawa jika ingin melihat masa depan sesebuah negara itu, lihatlah generasi mudanya pada hari ini. Rangkai kata seumpama ini telah biasa kita dengar, namun adakah kita memahami dan menilai makna sebenarnya?

Ungkapan yang popular seperti ini menggambarkan bahawa semua pihak sedar tentang kepentingan generasi muda yang akan mewarisi sesebuah negara pada masa depan. Oleh sebab itu, generasi pada hari ini wajib menyahut cabaran tersebut dengan melakukan aktiviti yang mampu menghasilkan kejayaan pada masa depan. Kejayaan tersebut pula hanya akan tercapai jika generasi hari ini bijak mengurus masa yang ada. Di sinilah kita dapat melihat betapa pentingnya diri kita, terutamanya remaja, untuk mengasuh diri sendiri agar sentiasa fokus ketika melakukan sesuatu perkara.

Dalam konteks hari ini, kebanyakan remaja terdiri daripada pelajar. Sama ada pelajar pada peringkat sekolah menengah rendah, sekolah menengah atas ataupun pengajian tinggi, semuanya mempunyai matlamat hidup masing-masing. Matlamat hidup amat penting untuk diberi perhatian oleh golongan muda agar perjalanan ke arah matlamat tersebut dapat diusahakan dengan teratur dan berkesan. Jika terdapat remaja yang masih belum mempunyai matlamat hidup, maka disarankan agar mereka berfikir sejenak, renungkan masa depan dan kebolehan masing-masing untuk menentukan matlamat hidup yang jelas. Dengan matlamat hidup yang jelas, remaja akan lebih terarah untuk mementukan aktiviti yang akan diberi fokus utama ke arah kejayaan matlamat tersebut.

***

(Rencana ini dipetik daripada majalah Dewan Siswa November 2016)

Monday, 4 January 2016

Tip Rajin

Kerja berlambak.
Ayat ni selalu kita dengar keluar dari mulut orang-orang yang 'bz'.
Sibuk biasanya akan berlaku bila banyaknya perkara yang kita perlu selesaikan dalam tempoh masa yang singkat. Mungkin perkara itu juga perlu diselesaikan mengikut deadline yang telah ditetapkan.

Kenapa begitu?
Kerja yang banyak akan jadi banyak bila kita kumpulkannya menjadi banyak. Dengan lain perkataan kita tangguhkan kerja yang awalnya sedikit sehingga menjadi banyak.

Tip yang penting agar kita dapat bekerja dengan selesa tanpa tekanan adalah dengan siapkan kerja lebih awal. - Jangan bertangguh kerja.!

Tapi nak lakukan kerja tanpa bertangguh memerlukan satu kerajinan yang melampau. Ya kita perlu rajin.

Bagaimana nak rajin?
Rajin adalah sikap yang terhasil daripada dorongan yang kuat dari dalam hati seseorang. Biasanya dorongan ini akan terhasil dengan motivasi yang dipengaruhi oleh sesuatu yang kita seronok. Maknanya kita akan jadi rajin bila melakukan perkara yang seronok kita lakukan. Keseronokan itu mungkin datang dari orang yang hampir dengan kita - pasangan,kawan,boss dan sesiapa saja. Jadi - kalau nak rajin kenalah cari sesuatu yang kita suka. Lakukannya dengan cara yang terbaik.

Tempat paling best di Mall

Biasanya setiap kali hujung minggu kita akan merayap ke mana-mana tempat bagi mengisi masa terluang. Dan tempat yang paling selalu kita pergi bila hujung minggu adalah pusat membeli-belah. Sebenarnya bukan ada apa-apa benda nak belipun. Sekadar berjalan-jalan dan cuci mata.

Kalau kita tidak ada perancangan nak beli apa-apa tapi nak juga pergi merayau kat mall. Aku cadangkan pergi lah ke kedai buku. Kebanyakan shooping mall sekarang terdapat kedai buku besar yang menarik dan selesa. Pergi lepak di kedai buku. Sambil tengok-tengok orang kat situ boleh juga tengok buku-buku baharu yang menarik. Tak perlu belipun. Kita boleh lepak dan baca buku sama seperti pergi library. Cuma konsepnya lebih best sebab kita membaca di pusat membeli belah yang meriah.

Kedai buku sekarang banyak menyediakan ruang membaca dan bersantai yang menarik. Ada kedai buku yang menyediakan cafe untik kita makan-makan dan minum. Boleh sembang, jumpa kawan sambil baca buku. Best kan?

Sunday, 3 January 2016

2016 Yang Manis

Selamat datang tahun baru 2016.

Aku mulakan tahun baru dengan amalan yang baru, mudah-mudahan amalan ini akan menjadi rutin hidup aku, seterusnya akan menjadi budaya hidup aku yang lebih bermanfaat.

Manfaat ini diharap akan dapat dirasai bukan sahaja diri aku sendiri, malah yang terrapat dengan aku juga akan merasakannya. Ahli keluarga, teman-teman, kawan-kawan, dan masyarakat yang lebih ramai.

Seperti orang lain juga, ayat yang paling klise bila masuknya tahun baru adalah; aku berazam akan jadi lebih baik dari sebelumnya. Semua orang punya azam begitu. Namun tidak ramai yang berusaha merealisasikan apa yang dikehendaki itu secara serius. itulah kelemahan ramai orang, termasuk aku.

Walau apapun, aku tetap juga berusaha melakarkan azam tahun baru aku. Azam aku kali ini sedikit berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya. Kerana kali ini aku berazam nak jadikan tahun 2016 sebagai tahun yang manis. Yang manis! Yang manis? Maknanya?

Maknanya aku akan pastikan tahun 2016 akan berlangsung dengan penuh kegembiraan. Manis maknanya sesuatu yang positif dalam hidup. iaitu sesuatu yang kita akan ingati sepanjang usia kita. Bertepatan dengan usia aku pada tahun ini telah mencecah pertengahan usia bagi seseorang yang biasa-biasa.

Dalam apa juga perkara yang aku lakukan, pastinya ia akan menjadi detik dan memori manis dan indah untuk aku. Dan juga kenangan manis untuk orang-orang yang hampir dengan aku.

Maknanya aku berazam jadikan tahun 2016 sesuatu yang menarik untuk dilakukan, menarik untuk dikenang dan menarik untuk diingati sepanjang zaman.

Azam ini merangkumi seluruh keperluan hidup seseorang. Aku tanya pada diri sendiri. Apa yang aku inginkan dalam hidup ini? Dipendekkan tempoh, pada tahun 2016 ini apakah yang benar-benar aku inginkan? Jawapannya aku memerlukan satu kehidupan yang lebih seronok dan manis pada tahun ini. Kesihatan yang baik. Pendapatan yang baik. Rakan-rakan yang baik. Agar aku mampu menjadi seorang hamba Tuhan yang terbaik!

Maniskan... azam aku tahun ini. InshaAllah.