Wednesday, 10 February 2021

EMOSI WAKTU DARURAT

Pada waktu ini Malaysia berada dalam 2 situasi yang mencabar iaitu darurat dan PKP. Kedua-dua situasi ini berpunca daripada wabak Covid-19 yang melanda negara. Ini merupakan kali kedua Malaysia mengadakan PKP di seluruh negara. Kali pertama PKP dilaksanakan pada awal tahu 2020 sehingga melibatkan beberapa perayaan besar seperti Hari Raya Aidilfitri disambut dalam tempoh PKP tersebut. Situasi pandemik ini telah memberi kesan yang besar terhadap rakyat Malaysia. Selain daripada kesan ekonomi yang menyebabkan kadar pengangguran semakin meningkat, kesan psikologi berkaitan emosi juga turut terjejas. Menurut Dr Lim Wai Jenn, Perunding Psikiatri Sunway Medical Centre Velocity, setiap perubahan yang berlaku dalam kehidupan boleh memberi tekanan hingga menyebabkan individu mengalami kebimbangan dan kemurungan. Dalam konteks situasi sekarang, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia terjejas dan mengalami perubahan yang ketara terutamanya dari aspek cara hidup, aktiviti harian, sumber pendapatan, hubungan kekeluargaan dan sebagainya. Perubahan ini telah mendorong mereka untuk bertindak di luar daripada kebiasaan. Jadi setiap ahli masyarakat perlu sentiasa peka terhadap perubahan yang berlaku terhadap orang-orang yang dekat dengan kita.

Monday, 3 August 2020

Cerpen: STATUS

Selalunya setiap kali aku 'online' di sosial media pasti dia ada. Dia sangat aktif bersosial di atas talian. Walaupun secara umumnya di alam realiti secara bersemuka, dia relatifnya seorang yang pendiam. Aku mengenalinya hampir setara dengan usia kami. Lama sangat. Kerana kami berasal dari daerah yang sama, bersekolah di sekolah yang sama, membesar dalam suasana dan kawasan yang sama dengan berkongsi permainan zaman kanak-kanak yang sama. Ini bermakna aku dan dia saling mengenali sejak kami masih kanak-kanak sehinggalah ke zaman dewasa dan tua sekarang. Setiap tahap usia yang kami lalui sepanjang kehidupan ini boleh dikatakan sentiasa bersua dan bertegur sapa. Oleh itu, aku mempunyai kelayakan yang baik untuk menceritakan perihal dia. Iaitu dia yang kini dikenali oleh ramai orang melalui statusnya di media sosial. Semalam dia menulis di media sosial kegemarannya - Facebook. Status itu berbunyi begini; "Dulu Bersatu kini berdua." Aku tersenyum, cuba mengamati maksud tulisannya. Ringkas namun penuh mengandungi maksud tersirat. Ramai yang menyukai status tersebut, hanya beberapa minit sahaja ditulis telah mendapat beratus tanda 'like' dan 'komen' yang disertakan dengan emoji popular. Termasuk juga aku yang secara spontan menekan tanda 'like' pada hantaran tersebut. Pada aku dia cuba membayangkan keadaan dirinya kini yang telahpun mempunyai seseorang yang mungkin akan menjadi pasangan hidupnya. Sesuai dengan status dirinya sebagai seorang duda yang sedang mencari. Setelah berpisah dengan pasangan pertamanya dulu, dia seakan hilang arah dalam kehidupan. Seperti seseorang yang kehilangan. Berputus asa dan kecewa. Aku tahu secara terperinci kisah rumahtangganya yang runtuh dua tahun yang lepas. Setelah berjaya membina sebuah keluarga yang bahagia pada suatu ketika dulu dengan pasangan pilihannya yang dikenali sewaktu masih belajar di pusat pengajian tinggi dahulu. Bersambung.

Tuesday, 7 July 2020

Masyarakat Pasca PKP

Banyak yang berubah selepas masyarakat diserang pandemik Covic-19 yang menyebabkan PKP dilaksanakan. Norma baru yang muncul merangkumi pelbagai aspek kehidupan seharian kita telah memaksa masyarakat berubah dan beralih daripada cara yang biasa iaitu norma dan budaya yang kita amalkan mungkin sejak dilahirkan lagi.

Friday, 17 January 2020

MALAS

Cabaran bagi orang yang rajin adalah MALAS.
Kata lawan bagi RAJIN adalah MALAS.

Malas merupakan satu sifat yang secara semulajadi (fitrah) wujud dalam setiap jiwa manusia. Setiap orang pasti punya rasa malas. Yang membezakan seorang individu dengan individu yang lain adalah tahap kemalasan yang mereka alami.

Kamus Dewan (DBP) menjelaskan perkataan malas bermaksud "tidak mahu berbuat sesuatu'. Perkataan malas juga digolongkan dalam kategori kata adjektif (sifat). Ini mengesahkan bahawa perkataan 'malas' merupakan rasa (sifat) yang terdapat dalam hati setiap manusia.

Persoalannya kenapa kita MALAS?
Atau, ada ke orang yang tidak pernah rasa MALAS?

Jawapannya tidak ada seorangpun yang tidak pernah rasa MALAS! Cuma bagaimana kita menangani sifat malas tersebut agar tidak memudaratkan diri kita.

Jika disenaraikan faktor malas ini sebenarnya banyak. Masing-masing mempunyai alasan tersendiri untuk menyatakan penyebab rasa malas yang mereka rasa.

Salah satu alasan yang popular adalah penat. Letih atau keadaan fizikal dan mental yang tidak berdaya untuk melakukan sesuatu, yang akhirnya memberi kesan kepada keinginan untuk berbuat sesuatu sehingga menjadi MALAS. Ini mungkin alasan bagi yang tahap malasnya tidak kritikal. Namun jika tahap malas telah berada pada tahap yang tinggi alasannya mungkin dalam bentuk pertanyaaan. Contohnya, ada kerja ke? kenapa kena kerja? kenapa aku yang kena buat? eh! ini bukan urusan aku!

bersambung...

Sunday, 12 January 2020

Allah Maha Berkuasa - Berserah HANYA kepada-Nya

Meneliti maksud ayat-ayat al-Quran pada surah Ali-'Imran (3:38-50) Allah telah menjelaskan tentang kekuasaan-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa dalam apa juga keadaan. Kekuasaan Allah melebihi daripada segala logik akal manusia. Pada surah ini diceritakan bagaimana Allah telah kurniakan zuriat kepada Nabi Zakaria walaupun pada ketika itu usia Nabi Zakaria telah tua dan isterinya pula seorang wanita yang mandul. Namun dengan izin Allah swt. pasangan ini dikurniakan Nabi Yahya sebagi zuriat yang bukan sahaja seorang anak lelaki yang sempurna malah juga sorang nabi. Begitu juga kisah Maryam yang dikurniakan anak walaupun tanpa pasangan (suami).

Dalam konteks hari ini, kita sering teruji dengan pelbagai dugaan sama ada yang berbentuk personal ataupun masyarakat sangat perlu melatih diri kita, membimbing emosi kita dan minda kita agar sentiasa meletakkan sesuatu kejadian itu kepada sumber yang mengkurniakan kejadian tersebut, iaitu Allah swt. Jadikan sebagai rutin kehidupan kita untuk berlapang dada dan menyerahkan segala keputusan tentang kehidupan kita hanya kepada Allah. Setelah berusaha, biarkan takdir yang menentukan!

Wednesday, 8 January 2020

Berada di tahun 2020

Berpuluh tahun yang lalu ramai yang beranggapan sesuatu yang luar biasa akan berlaku pada tahun 2020. Masing-masing berimaginasi tentang gambaran dunia pada tahun 2020 yang serba canggih - berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya dari aspek cara hidup dan penggunaan teknologi.

Namun segalanya meleset. Tiada perubahan ketara yang berlaku sebaik saja tirai tahun 2020 dibuka. Secara umumnya kita masih menggunakan teknologi yang pernah diciptakan pada tahun-tahun 1900-an.

Perubahan mungkin berlaku jika dilihat dari aspek diri manusia yang berada pada tahun 2020 ini. Kebanyakannya telah hilang nilai kemanusiaannya. Masing-masing berlumba mengejar sesuatu yang pada asasnya mereka tidak sendiri tidak mengetahuinya. Bak melihat orang lain berlari lalu kita juga ikut berlari dan mengekorinya tanpa tahu apakah yang kita kejar sebenarnya.

Tuntutan memenuhi kehendak dalam hidup telah meracuni fikiran ramai orang untuk bertindak di luar dari batas rasa dan nilai kemanusiaan yang sepatutnya. Sehingga mempengaruhi minda masing-masing untuk membuang rutin fikir yang dipelihara selama ini seperti rasa hormat menghormati di antara satu sama lain.

Nilai kemegahan dan ego dengan kelebihan serta kedudukan diri sendiri (juga kumpulan sendiri) telah mendorong mereka untuk melihat orang lain (juga kumpulan yang lain) sebagai tidak hebat dan perlu dihina. Sikap toleransi telah perlahan-lahan ditinggalkan bersama-sama nilai murni yang lain.

Di Malaysia, telah muncul kumpulan tertentu yang berusaha keras untuk mewujudkan perasaan benci di antara satu sama lain dengan penyebaran pelbagai berita, cerita, gambaran dan persepsi yang kurang baik terhadap kumpulan yang berbeza dengan mereka bagi memberi makna keperluaan untuk mereka dan seluruh kumpulan yang sama dengan mereka menentang dan membenci di antara satu sama lain. Hal ini sangat merbahaya dan mampu memberi ancaman keruntuhan perpaduan yang telah terjalin sekian lama di Malaysia di antara pelbagai bangsa dan etnik.

Siapa sahaja. Tanpa mengira peranan apa yang kita bawa, perlu untuk sejenak merenung dan berfikir tentang masa depan Malaysia selepas berjaya melangkah ke tahun 2020 dan tahun-tahun seterusnya. Warganegara yang kita ada perlu diterapkan nilai sayang menyayangi serta menghormati sesama kita - meraikan perbezaan dan merayakan persamaan!

Tuesday, 11 September 2018

Tahun Baru Hijrah

Tahun Hijrah dikira bermula pada saat peristiwa penghijrahan Rasulullah s.a.w dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Peristiwa yang sarat dengan pengajaran ini perlu diamati oleh setiap muslim agar berani membuat keputusan untuk berubah!
Dalam konteks semasa - penghijrahan bukan hanya melibatkan perpindahan fizikal dari satu tempat ke satu tempat yang baru. Namun penghijrahan boleh saja dari aspek sikap - kepada yang lebih baik!

Hakikatnya proses 'hijrah' ini bukan hanya perlu direnungi pada awal tahun sahaja. Seharusnya renungan serta 'niat' untuk berubah ke arah yang baik ini perlu dilakukan pada setiap hari. Sebagai manusia biasa pastinya kita tidak akan 'terlepas' daripada 'tersilap' pada setiap hari. Oleh itu menjadi amalan yang terbaik jika kita mampu merenung setiap hari (mungkin sebelum tidur) untuk bermuhasabah tentang segala aktiviti sepanjang hari kita. Daripada itu kita mampu merancang sesuatu agar dapat memperbaiki diri setiap hari. Atau kita juga boleh 'mempertahankan' kebaikan yang telah kita lakukan sepanjang hari secara istiqomah.

#SelamatTahunBaru