Wednesday, 8 January 2020

Berada di tahun 2020

Berpuluh tahun yang lalu ramai yang beranggapan sesuatu yang luar biasa akan berlaku pada tahun 2020. Masing-masing berimaginasi tentang gambaran dunia pada tahun 2020 yang serba canggih - berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya dari aspek cara hidup dan penggunaan teknologi.

Namun segalanya meleset. Tiada perubahan ketara yang berlaku sebaik saja tirai tahun 2020 dibuka. Secara umumnya kita masih menggunakan teknologi yang pernah diciptakan pada tahun-tahun 1900-an.

Perubahan mungkin berlaku jika dilihat dari aspek diri manusia yang berada pada tahun 2020 ini. Kebanyakannya telah hilang nilai kemanusiaannya. Masing-masing berlumba mengejar sesuatu yang pada asasnya mereka tidak sendiri tidak mengetahuinya. Bak melihat orang lain berlari lalu kita juga ikut berlari dan mengekorinya tanpa tahu apakah yang kita kejar sebenarnya.

Tuntutan memenuhi kehendak dalam hidup telah meracuni fikiran ramai orang untuk bertindak di luar dari batas rasa dan nilai kemanusiaan yang sepatutnya. Sehingga mempengaruhi minda masing-masing untuk membuang rutin fikir yang dipelihara selama ini seperti rasa hormat menghormati di antara satu sama lain.

Nilai kemegahan dan ego dengan kelebihan serta kedudukan diri sendiri (juga kumpulan sendiri) telah mendorong mereka untuk melihat orang lain (juga kumpulan yang lain) sebagai tidak hebat dan perlu dihina. Sikap toleransi telah perlahan-lahan ditinggalkan bersama-sama nilai murni yang lain.

Di Malaysia, telah muncul kumpulan tertentu yang berusaha keras untuk mewujudkan perasaan benci di antara satu sama lain dengan penyebaran pelbagai berita, cerita, gambaran dan persepsi yang kurang baik terhadap kumpulan yang berbeza dengan mereka bagi memberi makna keperluaan untuk mereka dan seluruh kumpulan yang sama dengan mereka menentang dan membenci di antara satu sama lain. Hal ini sangat merbahaya dan mampu memberi ancaman keruntuhan perpaduan yang telah terjalin sekian lama di Malaysia di antara pelbagai bangsa dan etnik.

Siapa sahaja. Tanpa mengira peranan apa yang kita bawa, perlu untuk sejenak merenung dan berfikir tentang masa depan Malaysia selepas berjaya melangkah ke tahun 2020 dan tahun-tahun seterusnya. Warganegara yang kita ada perlu diterapkan nilai sayang menyayangi serta menghormati sesama kita - meraikan perbezaan dan merayakan persamaan!

No comments:

Post a Comment