Friday, 17 July 2015

Nilai Hari Raya

Hari raya sepatutnya masa yang sesuai untuk semua ahli keluarga berkumpul dan bersua muka bermesra berbincang tentang perkembangan kehidupan masing-masing.Masa yang sesuai untuk kenal mengenali ahli keluarga terbaru yang turut sama berkumpul. Hari raya bukan sekadar meraikan kejayaan berpuasa sebulan malah lebih daripada itu untuk bersama setelah sekian lama terpisah.
Namun tidak semua orang mampu menyambut hari raya dalam keadaan yang mesra bersama keluarga seperti yang diidamkan. Tidak semua daripada kita memiliki nilai kekeluargaan seperti yang digambarkan. Banyak halangan yang menjadi faktor penolak kepada keadaan seperti itu. Kekangan masa, kekangan kewangan, masalah peribadi dan masalah keluarga adalah antara penyebab yang menjadi batu penghalangnya.
Semuanya akan jadi masalah bila kita meletakkannya sebai masalah. Untuk sambutan raya yang berkesan tidak memerlukan modal yang besar jika masalah kewangan dijadikan alasan. Nilai baik dalam keluarga bukan boleh dibeli dengan wang ringgit. Tetapi nilai tersebut hadir daripada akhlak yang baik. Jika kita mampu mengawal keperibadian yang baik sepanjang ramadhan dan praktikkan semula pada sambutan hari raya pastinya kita tidak akan bermasalah. Nilai sabar,berjimat cermat, bertolak ansur, bersangka baik dan tidak sombong yang kita belajar sepanjang ramadhan sebenarnya sudah cukup menjadikan akhlak kita selesa untuk berhari raya. Itu cuma sebahagian kecil sahaja nilai baik yang kita perlu amalkan.
Sekadar cadangan: jika kita tidak berkesempatan pulang berhari raya bersama keluarga, kita mungkin masih boleh berhubung melalui panggilan telefon. Atau kita juga boleh bersama rakan sekerja, jiranjiran dan masyarakat di sekitar kita. Apa yang penting kita masih lagi mampu bergembira meraikan hari yang mulia.

No comments:

Post a Comment