Thursday, 16 July 2015

Satu Hari Sebelum Raya

Khamis. 16Julai2015. Esoknya dijangka akan berakhirlah Ramadhan yang mulia dan penuh keberkatan. Esok 1 Syawal yang menandakan seluruh umat Islam akan merayakan kemenangan mereka melawan nafsu sepanjang bulan puasa. Esok pastinya hari kegembiraan bagi yang betul-betul berpuasa. Bagi yang mengambil serius tentang puasa yang sebenar-benarnya. Iaitu puasa jiwa dan raga daripada melakukan perkara yang bisa  membatalkan ibadah puasa tersebut. Natijahnya puasa yang indah itu akan membuahkan nilai diri yang baik serta berkualiti bagi setiap individu. Puasa yang sebenar akan berjaya mengubah seseorang ke arah yang lebih baik dan terbaik. Individu ini bukan sahaja berjaya menahan lapar dan dahaga sepanjang Ramadhan malah berjaya mengajar diri tentang nilai-nilai baik yang perlu ada dalam setiap muslim khususnya dan sebagai manusia keseluruhannya. Sifat sabar, hormat-menghormati, penyayang, baik hati, pemurah dan prihatin adalah antara sifat-sifat yang wajib terbentuk pabila kita benar-benar berpuasa sepanjang Ramadhan. Adakah kita tergolong dalam kumpulan yang berjaya seperti yang disebut itu? Tepuk dada tanyalah hati lihatlah peribadi sendiri.
Sehari sebelum raya adalah hari terakhir kita melatih dan melatih dan melatih untuk melihat hasilnya seawal pagi esok. Adakah kita percaya pada diri sendiri tentang perubahan positif yang mampu kita kecapi sebaik Ramadhan tiada lagi. Masa untuk merenung dan berfikir sejujurnya tentang perubahan tersebut. Masih ada masa untuk kita memanfaatkan kelebihan Ramadhan bagi melakukan perubahan positif ke atas diri kita. Perubahan individu lebih penting daripada berangan untuk merubah dunia!
Pastikan diri kita terbaik barulah berusaha memberi pengaruh kepada individu lain yang hampir dan rapat dengan kita.
 
Satu hari sebelum raya. Kita sama-sama bersiap sedia untuk merayakan hari raya aidilfitri yang mulia. Namun perayaannya sekadar makan dan bergambar mesra yang tiada kesan apa-apa jika kita masih pada tahap lama seperti sebelum bulan puasa. Hatinya masih keras seperti tidak terkesan dengan kesucian barakah Ramadhan. Berjayakah kita?

No comments:

Post a Comment